Penyelidikan awal yang dilakukan terhadap ulama besar ahli sufi yang berasal dari Palembang, Sumatera Selatan, ini dimulai dengan adanya sebuah kitab berjudul Badi’uz Zaman, karyanya yang disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Al-Fatawal Fathaniyah.
Ada satu permasalahan di mana Syeikh Ahmad al-Fathani tidak sependapat dengan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani, yaitu mengenai pembahasan sifat harus bagi Allah.
Menurut Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani “Harus bagi Allah ada empat perkara,” sedangkan menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dan pendapat ulama ahli tauhid “harus bagi Allah itu hanya satu sahaja”, yaitu “memperbuat sekalian mungkin atau meninggalkannya”.
Bertahun-tahun saya mencari kitab Badi’uz Zaman karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu akhirnya diperoleh juga, bahkan banyak lagi karangan beliau selain itu dapat saya kumpulkan.
Pada mulanya ada beberapa perkara yang saya ragukan terhadap ulama ini, di antaranya sebuah karyanya yang diselesaikan pada tahun 1259 Hijrah/1843 Masehi dan karya beliau yang terakhir disebutkan bahwa diselesaikan dalam tahun 1324 Hijrah/1906 Masehi.
Memperhatikan tahun yang tersebut itu berarti beliau telah hidup pada zaman Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan masih hidup pula pada zaman Syeikh Ahmad al-Fathani. Berarti dari penulisan pertama hingga yang terakhir memakan waktu sekitar 65 tahun.
Mengenai nama beliau pula ada yang ditulis dengan menggunakan Muhammad bin Abdullah al-Azhari al-Falimbani dan yang lain dengan Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani.
Dalam buku Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Selatan, tercatat nama yang lain pula, iaitu Kiyai Haji Kemas Muhammad Azhari atau dikenal juga dengan sebutan Kiyai Syeikh dan Kiyai Pedatukan. Disebutkan juga riwayat yang sangat ringkas mengenainya, “Beliau sangat mendalami ajaran Islam, dan mungkin merupakan orang Indonesia pertama menuntut ilmu serta melakukan pengembaraan ke negeri-negeri Arab, Mesir, Syria, dan India serta negeri-negeri lainnya. Beliau diikuti oleh puteranya iaitu Haji Kemas Abdullah Azhary.”
Terakhir sekali biografi yang agak lengkap mengenai anaknya ditulis oleh Syeikh Yasin Padang dalam beberapa buah bukunya banyak dapat menolong ke arah jawaban kemusykilan-kemusykilan penyelidikan terhadap ulama ini.
Pendidikan
Nama lengkapnya adalah As-Shufi as-Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Shafiyuddin Abdullah al-‘Alawi al-Husaini. Mengenai guru-guru beliau dalam beberapa tempat karyanya ada beliau catatkan di antaranya, “Maka inilah salasilah Thariqat al-Khalwatiyah as-Samaniyah, turun-turun tempat mengambil zikir dan kaifiyatnya bagi Wali Allah yang terlebih takut akan Allah Taala, iaitu Quthbur Rabbani dan arif yang shamadani, guru kita dan penghulu kita, iaitu asy-Syeikh Muhammad bin asy-Syeikh Abdul Karim as-Samani yang telah masyhur. Dan sesungguhnya telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Falimbani. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Ia mengambil daripada Quthbul Akwan Saiyidinasy Syeikh Muhammad Saman al-Madani…”
Pada tempat yang lain Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani menyebut Syeikh Ma’ruf bin Abdullah (belum jelas apakah sama dengan Syeikh Abdullah bin Ma’ruf seperti yang tersebut di atas).
Selain itu beliau menyebut bahwa menerima Thariqat Qadiriyah kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Ia mengambil daripada Syeikh Muhammad Mukrim, Mufti Hamad di Syam. Menurut Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani lagi bahwa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi itu adalah penyusun kitab Tuhfatul Qudsiyah.
Pada bacaan hadiah al-Fatihah pula disebut beberapa orang ulama, iaitu Syeikh Abdul Lathif Musyarri’, Syeikh Abdur Rahman Musyarri’, Syeikh Abdullah Amin al-Haji Bastam. Kemungkinan yang beliau sebutkan ini adalah guru-guru beliau, yang beliau sebut sebagai Syaikhuna.
Belajar
Selain sumber asli Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani sendiri seperti yang telah dinukil di atas, daripada sumber Syeikh Yasin Padang pula beliau menyebut nama-nama guru Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu. Bahwa beliau belajar kepada ayahnya Syeikh Abdullah.
Syeikh Abdullah belajar kepada ayahnya Syeikh Asyiquddin. Syeikh Asyiquddin belajar kepada beberapa orang ulama iaitu Muhammad Murad as-Sandi, Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani, Muhammad bin Abdul Karim Saman, Abdul Wahhab at-Tantawi, Sa’id bin Hilal al-Makki. Semua ulama tersebut adalah murid kepada Ahmad bin Muhammad an-Nakhali, Abdullah bin Salim al-Basri dan Sayid Muhammad bin Abi Bakar asy-Syibli. Ketiga-tiga ulama ini adalah murid asy-Syamsu Muhammad bin al-‘Ala al-Babili.
Kemudian Syeikh Yasin Padang menyebut pula daripada silsilah yang lain, bahwa Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani adalah murid kepada Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.
Syeikhah Fatimah ini adalah murid ayahnya sendiri, iaitu Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sanad/silsilah beliau ini ada beberapa jalur, tetapi tidak disebutkan di sini.
Dari silsilah lainnya Syeikh Yasin Padang menyebut pula bahwa Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani murid kepada Sayid Ahmad bin Muhammad al-Hadhrawi. Beliau adalah murid kepada ayah dan datuknya asy-Syihab Ahmad bin Ahmad al-Mansuri.
Beliau murid kepada Sayid Muhammad Murtadha az-Zabidi, Muhammad al-Amir al-Kabir, Abi Abdillah Muhammad bin ‘Aqilah al-Makki al-Ahdal dan Abdul Ghafur as-Sandi.
Kesimpulan daripada silsilah/sanad di atas dan hasil kajian dari karya-karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani sendiri yang menyebut nama beberapa orang ulama yang berasal dari Palembang, terutama yang menjadi rujukan utama dan pegangan kukuh bagi beliau ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, bahkan Syeikh Muhammad Azhari adalah murid Fatimah anak Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, maka dapat dipastikan bahwa beliau sebagai ulama penyambung aktivitas-aktivitas penulisan ulama Palembang.
Pada pandangan dan pendapat saya sesudah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Palembang, Sumatera Selatan nampaknya dalam kekeringan ulama yang terjun ke dunia penulisan kitab.
Dengan kemunculan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani yang pertalian keilmuannya mempunyai hubungan dengan ulama-ulama Palembang secara asli, maka dapatlah kita anggap bahawa beliaulah tokoh terbesar ulama Palembang sesudah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang sangat terkenal itu.
Karya-Karya Dan Pemikiran
Berikut ini karya-karya Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah al- Falimbani yang telah ditemui ialah:
- ‘Atihyatur Rahman fi Bayani Qawa’idil Iman, ditulis pada tahun 1259 H/1843 M. Kitab ini banyak kali dicetak bersama karya gurunya Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi Sumbawi berjudul Sirajul Huda. ‘Athiyatur Rahman sentiasa dicetak di bahagian tepi Sirajul Huda
- ‘Aqaidul Iman li Ma’rifatil Ilahir Rahman, diselesaikan di Mekah, 18 Safar 1309 Hijrah/1891 Masehi. Dicetak dengan huruf batu di Singapura pada 8 Syawal 1319 Hijrah/1901 Masehi, iaitu naskhah yang disalin oleh ‘Alwi bin Idrus al-‘Aidrus.
- Badi’uz Zaman fi Bayani ‘Aqaidil Iman, diselesaikan di Mekah, 21 Rabiulakhir 1310 Hijrah/1892 Masehi, cetakan pertama dan ketiga oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah (pertama 1310 Hijrah dan ketiga 1329 Hijrah).
- Bidayatur Rahman, 1324 Hijrah/1906 Masehi. Pernah dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah, Mekah, 1330 Hijrah/1911 Masehi.
- Amalan Doa ‘Ukasyah Bergantung Makna Serta Dengan Syarahnya, tanpa disebutkan tarikh penulisan. Dicetak di tempat Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Singapura. Cetakan ini diusahakan oleh seorang muridnya Hasan bin Abdusy Syukur.
Tasawuf
Apabila kita mengkaji pemikiran Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani, maka sebahagian besar jalan pemikirannya menjurus kepada pemikiran tasawuf dan sedikit pemikirannya mengenai tauhid. Selain itu dari sudut sastra Melayu beliau juga menggubah beberapa untaian syair.
Menurut Syeikh Muhammad Azhari bahwa jalan tetap iman itu ada kalanya mengambil dalil daripada ayat al-Quran, hadis dan pandangan yang membawa kepada ‘ilmul yaqin‘, dan adakalanya dengan ‘musyahadah‘ akan ‘Kamal Sifat-Nya‘. Syeikh Muhammad Azhari, memetik pendapat Syeikh Tusi, mengenai martabat orang ‘ahli syuhud’, yang diuraikan dengan agak panjang.
Keturunan Dan Murid
Mengenai anak Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani yang menjadi ulama terdapat dua sumber dalam karya bahasa Arab. Kedua-duanya ialah tulisan Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair judul Nasyrun Naur waz Zahar. Sumber yang kedua ialah karya Syeikh Yasin Padang dalam Tasyniful Asma’ Syuyuhil Ijazah was Sama’, juga dalam Bulughul Amani.
Syeikh Muhammad Azhari telah mendidik anaknya itu, kemudian menyerahkannya belajar kepada beberapa orang ulama terkenal di Mekah. Anak beliau yang tersebut bernama Syeikh Abdullah Azhari, lahir di Mekah, menurut Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair.
Tetapi menurut Syeikh Yasin Padang, bahawa beliau lahir di Palembang, malam Khamis, 18 Syaaban 1279 Hijrah/1862 Masehi. Wafat pada hari Ahad, 16 Zulkaedah 1357 Hijrah/1938 Masehi, dalam usia lebih kurang 78 tahun. Pada masa hidupnya bergiat dalam mengajar di Mekah dan usaha penanganan Syeikh Haji.
Keturunan beliau selanjutnya tidak disebut dalam karya kedua penulis yang tersebut, namun sampai pada masa berakhirnya sistem Syeikh Haji di Mekah masih terdapat tanda nama Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani. Ini bererti keturunan beliau masih aktif dalam pengurusan Syeikh Haji di Mekah pada masa itu.
Selain Syeikh Abdullah Azhari sebagai anak, sekaligus adalah muridnya, barangkali ada banyak murid Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, di antaranya ialah Haji Hasan bin Abdusy Syukur yang berusaha menerbitkan karya beliau.
Syeikh Muhammad Azhari al- Falimbani telah menyebarkan Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah di tempat-tempat pengembaraannya terutama sekali di dunia Melayu.
Dalam dunia tarbiyah thariqah shufiyah yang dijalankannya, beliau adalah seorang tokoh yang melanjutkan tatacara yang dilakukan oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.
Mengenai Thariqat Qadiriyah nampaknya nama beliau tidak begitu ditonjolkan kerana tenggelam dalam kebesaran kemursyidan Syeikh Ahmad Khathib Sambas. (*)